Monday 23 May 2016

Selamat Hari Guru Malaysia 2016 - Siri II


Ye...seperti yang dijanjikan, sambungan pada penulisan saya tentang Hari Guru 2016 yang saya dedikasikan khas buat semua warga pendidik yang amat mulia pekerjaannya di sisi Allah SWT. Saya sebenarnya amat mengkagumi profesion perguruan kerana ia merupakan sebuah kerjaya yang menuntut tahap kesabaran yang tinggi. Sudah tentu saya memahami karenah murid-murid yang pelbagai ragam kerana saya pun salah seorang murid satu masa dulu...

Betul, saya murid yang jatuh dalam kategori sederhana. Bukan. Bukan sederhana yang ke arah baik yang dimaksudkan di sini. Saya ialah murid yang "agak" sederhana. Entah apa dalam fikiran saya masa tu, asyik fikir nak bermain dan berkawan saja! Jadi saya selalu didenda, kena rotan, dimarahi tu agak biasa juga...paling teruk pun saya menangis tetapi seingat saya payah. Saya hanya akan tertunduk diam di depan guru...(itulah satu-satunya beza saya dan budak nakal sekarang kot?) 

Tahap garang guru-guru saya cuma 30% daripada bonda. Saya akan cuba sedaya upaya untuk elakkan bonda dapat tahu perihal saya ponteng kelas atau berborak di bilik darjah daripada cikgu-cikgu :) Bila dah masuk menengah, saya dah slow sikit...paling teruk cuma ikut kawan masuk parit keluar pagar sekolah beli keropok. Itupun tanpa dapat dikesan! Aduh..bila diingat balik, saya ke yang masuk parit panjat parit tu? Mmmm gitula gamaknya. Hakikat walau pahit kena telan juga.

Tamat UPSR, saya dihantar ke sekolah agama berdekatan...bonda "memaksa" kami adik-beradik untuk mengambil jurusan Arab Komunikasi...aduh...pening saya sampai sudahnya, keputusan Arab saya sekadar cukup-cukup makan sahaja semasa result PMR keluar (Waktu ni kesedaran belum ada). Habis sahaja tingkatan 3, saya memilih untuk menyambung ke Teknik dalam jurusan Elektrik...seronok waktu itu bila dapat apa yang dihajat.. Saya banyak mengikut jejak abang long di mana minat saya cenderung ke arah kejuruteraan.

Kita merancang, perancangan Allah jua yang terbaik. Tidak lama saya di sekolah Teknik, saya disahkan menghidap barah tulang...persekolahan saya tertunda selama setahun dengan kebenaran daripada KPM pada masa itu. Seingat saya, surat kebenaran itu ditandatangan oleh YAB PM kita sekarang yang memegang portfolio sebagai Menteri Pendidikan...:) Setelah tamat rawatan, keluarga mula mendorong saya untuk kembali ke sekolah namun hati saya langsung tidak berminat lagi...Saya cuma memikirkan untuk menghabiskan masa bersama keluarga di rumah.

Setelah dipujuk, saya kembali menyambung persekolahan di sekolah berdekatan. Masih segar di ingatan, abang long mendukung saya yang masih bertongkat dan memakai anduh pada masa itu untuk ke kelas di tingkat 2. Di sekolah menengah, saya mendapat sedikit sinar pengharapan...agak menjadi pula keputusan peperiksaan saya, sehingga ditawar untuk memasuki kelas sains namun saya menolak dengan alasan kurang berminat dengan add math. Hebatnya waktu itu, boleh main tolak-tolak ye? Saya dihantar ke kelas ekonomi dimana saya perlu untuk mengambil subjek perakaunan, perdagangan dan banyak lagi...pun tak minat tapi apa lagi pilihan yang saya ada...

Dalam tak minat, alhamdulillah rezeki sekali lagi memihak pada saya. Setelah mendapat keputusan SPM yang agak baik, saya ditawarkan untuk mengikuti matriks perakaunan. Namun dek kerana hati saya tidak terbuka untuk menerima bidang tersebut, saya mencuba nasib memohon jurusan lain. Berbagai jurusan dipohon termasuklah Perhutanan kerana saya fikir, dapatlah saya masuk UiTM Pahang yang jaraknya hanya 20km dari rumah. Sindrom nak duduk rumah agak tebal waktu ini. Haih...

Akhirnya, tak kesampaian hajat saya. Mana mungkin Allah tunaikan semua permintaan kita sedang Dia lebih tahu yang terbaik. Saya menyambung pelajaran di Kuala Lumpur dalam bidang Teknologi Maklumat sebelum menyambung ke Teknologi Pembuatan di UNIKL. Sekali lagi bersua dan bercinta dengan add math dan seangkatan dengannya. Nak lari sangat kan dulu...nah, ambik !@__@

Setelah tamat pengajian, saya ditawarkan untuk menyambung pengajian dan mengajar di kampus baharu di Johor namun dek kerana tiada kekuatan (baca: minat) saya menolak dan memilih untuk mencuba bidang lain...Cikgu Sejarah saya dulu pernah berpesan, yang mana memang saya pegang hingga sekarang...ucap beliau, jangan jadi cikgu. Lupa saya nak bertanya kenapa...lantas saya mengangguk patuh sahaja. 

Jadi, di sinilah saya sekarang. Di pejabat dan bukannya kelas atau kuliah...saya memilih untuk mendengar pesan cikgu saya untuk tidak menjadi seorang guru kerana saya hanya seorang wanita biasa, bukan seperti guru-guru hebat dan luarbiasa di luar sana. Saya bangga walaupun tidak menjadi seorang guru, saya dikeliling oleh ramai guru di sekeliling saya termasuklah jiran sebelah. Kira oklah tu kan... :)

Selamat Hari Guru. Saya sayang guru-guru saya!

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...