Saturday 21 May 2016

Magic Of The Night - Floria, Bot Berhias dan Bunga Api



Minggu depan ya, saya tolong ingatkan lagi kepada rakan-rakan yang berminat. Jom kita ke Presint 4, Putrajaya. Selain daripada Royal Floria Putrajaya, di sebelah malamnya ada juga perarakan bot berhias di sekitar tasik Presint 2 - Presint 5. Sepertimana terdahulu dimana saya tidak berpeluang mengambil gambar (akibat teruja) jadi kali ini saya bercadang untuk mendapatkan koleksi menarik gambar-gambar bot berkenaan ;)




Ini adalah gambar lama yang saya dapat dari Mr. Google. Untuk gambar bot 2016, tunggu ya! Saya dapati setiap tahun, terdapat tema tertentu namun untuk perarakan pada kali ini, saya sendiri kurang pasti apakah pula tema yang akan ditetapkan. Yang pastinya, setiap satu bot tersebut amat menarik dengan lampu hiasan yang pelbagai bentuk. Selain daripada bot MOTAC dan negeri-negeri di Malaysia, terdapat juga bot berhias dari luar negara.


Sukar untuk saya bayangkan hanya melalui gambar. Alang-alang singgah ke Floria, perarakan ini rasanya adalah pelengkap kepada kunjungan anda kelak. Mudah-mudahan cuaca baik sepanjang minggu depan untuk kita sama-sama menyaksikan keindahan bunga-bungaan di Floria, perarakan bot berhias dan juga bunga api :)




Tiket boleh didapati secara online di sini dan tentu sahaja ada tiket early bird untuk kita pada harga yang lebih rendah :D

Jom!

Blueberi Malaysia (Kemunting)



Selamat petang semua! Hari ni sambil beristirehat kat rumah di samping keluarga, saya nak perkenalkan kepada rakan-rakan akan buah beri biru keluaran Malaysia :)


Salah satu hobi saya ialah bercucuk tanam. Saya ada menanam sejenis pokok renek yang menghasilkan buah beri hampir sepanjang tahun yang dikenali sebagai Kemunting. Kemunting ini merupakan pokok yang amat mudah ditanam dan tidak memerlukan kepada penjagaan rapi, cukup sekadar siram dan tidak memerlukan baja, cuma pastikan pencahayaan yang cukup sahaja. Pokok yang saya kira banyak terdapat di pesisir pantai ini mengeluarkan bunga berwana pink (seakan sakura!) yang amat cantik. Saya selalu menganggap pokok ini sebagai hiasan kerana bunganya yang menawan dan kerap menarik perhatian sang lebah. Bahkan, di saat saya mengambil gambar di atas pun terdapat lebah sedang menghisap madu di situ :)


Di bawah ni buahnya yang telah saya kutip dan basuh sebelum dimakan. Tekstur buahnya yang seakan beri dengan biji-biji halus di dalam buah (seperti buah tin) menyebabkan ia tak jemu untuk dimakan. Rasanya akan lebih manis apabila bertukar dari merah kepada ungu kehitaman. Biasanya saya akan makan ia begitu sahaja tetapi ia boleh juga dibuat jus atau jem. Ini merupakan sejenis pokok yang saya syorkan kepada ibubapa untuk menanamnya selain Mulberi kerana keseronokan anak-anak untuk memetik buahnya apabila tiba musim. Pokok ini sentiasa berbuah namun ada masanya dimana ia akan menghasilkan buah dengan amat lebat.



Pokok ini juga gemar kepada medium berpasir. Benihnya ada dijual dengan harga sekitar RM5 hingga RM10 bergantung saiz. Anda boleh mendapatkan anak pokok ini dan menanamnya di dalam pasu atau atau terus di atas tanah. Selamat menanam kepada yang ingin mencuba ;)

Friday 20 May 2016

Sya'aban



[Soal Jawab Ibadah] Kelebihan Bulan Sya'ban Dan Malam Nisfu Sya'ban

Apakah Kelebihan sya'ban

Daripada Usama bin Zaid ra, beliau berkata:

ولم يكن يصوم من الشهور ما يصوم من شعبان قلت ولم أرك تصوم من الشهور ما تصوم من شعبان؟

ذاك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين عز وجل فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم

"Rasulullah saw tidak pernah berpuasa sebanyak yang baginda puasa dibulan sya'ban." Aku bertanya kepada baginda " Kenapa aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dibulan-bulan yang lain sepertimana engkau berpuasa dibulan sya'ban." Baginda saw menjawab: Itulah bulan yang ramai manusia lalai iaitu diantara bulan rejab dan bulan ramadan. Ia juga bulan yang diangkatkan amalan kepada Allah swt. Aku suka diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa."

(Hadis Ahmad dan Nasaie - sanad yang hasan)

Disini Nabi menyebut dua kelebihan bulan sya’ban:

1. Bulan yang disunatkan beramal terutamanya puasa kerana bulan yang mana manusia biasa lalai dalam bulan ini.

2. Bulan yang diangkat amalan kepada Allah swt.

Adakah Nabi saw berpuasa penuh pada bulan sya'ban?

Ada hadis yang menunjukkan Nabi saw berpuasa penuh dalam bulan sya'ban seperti hadis:

كان يصوم شعبان كله

"Nabi saw berpuasa penuh didalam bulan sya'ban."

(Hr Bukhari - sahih)

Ada hadis yang menunjukkan Nabi saw berpuasa sebahagian besar pada bulan sya'ban dan tidak penuh seperti hadis:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم شعبان إلا قليلا

" Rasulullah saw telah berpuasa sebahgian besar dari bulan sya'ban."

(Hr Nasaie)

Sekelompok ulama telah mentarjih pendapat yang mengatakan Nabi saw tidak berpuasa penuh dalam bulan sya'ban. Ini dikuatkan dengan hadis yang diriwayatkan dari 'Aisyah ra:

ما رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم استكمل صيام شهر قط إلا رمضان

"Aku tidak pernah melihat Rasulullah saw berpuasa selama sebulan penuh melainkan pada bulan ramadan."

(Hr Bukhari dan Muslim - sanad sahih)

oleh itu Ibnu Abbas menganggap makruh orang yang berpuasa penuh selama sebulan melainkan ramadan.

Hukum berpuasa selepas 15 sya'ban
Haram berpuasa sunat selepas 15 sya'ban. Ini jelas dari hadis dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw:

إذا انتصف شعبان فلا تصوموا

"Apabila telah berlalu 15 sya'ban tidak boleh puasa."

(Hr Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah - sahih)

Dibenarkan puasa selepas 15 sya'ban sekiranya adatnya pada hari tertentu dia berpuasa sebelum 16 sya'ban atau menyambung dari puasa yang seseorang puasa sebelum 16 sya'ban. Ini berdasarkan hadis berikut:

لا تقدموا رمضان بصوم يوم أو يومين إلا إذا كان يصوم صوما فليصمه

"Janganlah kamu mendahului berpuasa sebelum ramadan sehari atau dua hari melainkan sekiranya puasa yang biasa dilakukan maka dia boleh teruskan puasa."

(Hr Bukhari dan Muslim)

Dibenarkan puasa selepas 15 sya'ban sekiranya puasa wajib seperti puasa ganti dan puasa nazar.

Kelebihan hari dan malam nisfu (15) sya'ban

1. Adapun kelebihan Malam Nishfu Sya'baan itu telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wa sallam yang maksudnya :

"Allah memandang kepada semua makhlukNya di Malam Nishfu Sya'baan, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan."

(Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)

2. Nabi saw bersabda:

إن الله ليطلع ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن

"Sesungguhnya Allah taala akan meninjau pada malam nisfu sya'ban, lalu mengampunkan dosa-dosa semua makhluknya melainkan orang yang musyrik atau orang yang berbalah."

(Hr Ibnu Majah - hasan)

3.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : "فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ

رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ :يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قَالَتْ :قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ" - رواه الترميذي وابن ماجه وأحمد .

Hadis daripada Ummul Mukminin Sayidatina ‘Aisyah R.A telah berkata : "Aku telah kehilangan nabi S.A.W pada suatu malam, maka aku telah keluar untuk mendapatinya maka baginda berada (sedang berdiri di kawasan perkuburan)Baqi’ sambil mendongakkan kepalanya ke langit.lalu baginda berkata : Wahai ‘Aisyah, adakah kamu takut Allah dan Rasulnya melakukan kezaliman ke atas kamu? Berkata ‘Aisyah : Bukan demikian sangkaanku tetapi aku menjangkakan kamu telah pergi kepada sebahagian daripada isteri-isteri kamu(atas perkara-perkara yang mustahak lalu aku ingin mendapat kepastian). Lalu baginda bersabda : Sesungguhnya Allah Ta’ala telah turunkan(malaikatNya dengan perintahNya) pada malam nisfu Sya’ban ke langit dunia, lalu Allah mengampunkan dosa-doa (yang dilakukan oleh hambaNya) lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu yang terdapat pada kambing-kambing peliharaan (bani) Kalb."

-Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.

4. 


عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ
مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ " - رواه الطبرانى وصححه ابن حبان .
Hadis daripada Saidina Mu’adz ibnu Jabal R.A bahawa nabi S.A.W telah bersabda : “Allah memandang pada kesemua makhluk ciptaanNya pada malam nisfu Sya’ban, lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua makhlukNya melainkan dosa orang musyrik (yang menyekutukan Allah)dan dosa orang yang bermusuhan.”

-Riwayat Al-Tobrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban.

5.
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ

شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ" - رواه ابن ماجه .

Hadis daripada Saidina ‘Ali R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda :“Apabila masuk malam nisfu Sya’ban, maka hendaklah kamu bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah Ta’ala menurunkan malaikatnya ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya matahari, lalu Allah berkata : Sesiapa yang memohon keampunan padaKu maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya, sesiapa yang demikian…sesiapa yang demikian …sehinggalah terbitnya fajar.”

-Riwayat Ibnu Majah.

Malam Nisfu Sya’ban adalah antara malam yang dikabulkan doa

Berkata Imam asy-Syafi`ie dalam kitabnya al-Umm:


"Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya `Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nishfu Sya'baan."

Malam Nishfu Sya'baan merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala. Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu di atas.



Cara Salafussoleh menghidupkan Malam Nisfu Sya’ban:


Adapun cara menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi shallallahu `alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi`in dari penduduk Syam. Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib al-Ladunniyah, bahawa para tabi`in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma'dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya'baan. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.

Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya (Lathoif Al-Ma’arif) :

“Ulama’ di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam nisfu Sya’ban kepada dua pandangan.

Pertamanya :
Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid. Khalid ibn Ma’dan dan Luqman ibn ‘Amir dan selain daripada mereka telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.

Dan Ishaq ibn Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan ibadah di masjid secara berjamaah : “Perkara tersebut tidaklah menjadi bid’ah.” Kalam ini dinukilkan oleh Harb Al-Kirmani di dalam kitab Masail nya.

Keduanya :

Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan Al-Auzaie Imam Ahli Syam dan Ahli Faqeh dan ‘Alim.”

Imam Ibnu Taymiah juga berkata:

"Apabila seseorang solat seorang diri dimalam nisfu sya'ban atau berjemaah seperti mana yang dilakukan oleh kelompok2 salafus soleh adalah perkara yang baik."

(Majmu'ul Fatawa 131/23)

Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan membaca Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi`in itu.

Berhubung dengan persoalan sholat khas Nishfu Sya'baan, maka berlaku khilaf antara ulama kita, ada yang mensabitkannya seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan ada yang memandangnya sebagai bid`ah yang keji. Khilaf berlaku pada pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu sholat khusus malam tersebut seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk keluar dari khilaf bagi sesiapa yang hendak bersholat, maka lakukanlah sholat-sholat sunnat seperti sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib dan Isya`), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq . Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nishfu Sya'baan atau pada malam-malam yang lain.

Apakah dibenarkan membaca Surah Yasin 3 kali di Malam Nisfu Sya’ban ?
Jawapan yang diberi oleh Mufti Mesir (Dr Ali Jum’ah) :

Tidaklah mengapa seandainya membaca surah Yasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib secara terang-terangan dan beramai-ramai. Hal ini kerana termasuk dalam perkara menghidupkan malam tersebut dan perkara berkaitan dengan zikir ruangannya adalah luas. Adapun mengkhususkan sebahagian daripada tempat dan waktu untuk melakukan sebahagian daripada amalan soleh secara berterusan adalah termasuk dalam perkara yang disyariatkan selagi mana seseorang yang melakukan amalan tersebut tidak beri’tiqod(menjadikannya sebagai pegangan) ; bahawa perkara tersebut adalah wajib di sisi syara’ yang membawa hukum berdosa sekiranya meninggalkannya.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : "كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبً" -

متفق عليه .

Hadis daripada Ibnu Umar R.A telah berkata : “Nabi S.A.W akan mendatangi masjid Quba pada setiap hari Sabtu samada dengan berjalan ataupun menaiki tunggangan.”

-Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.

Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Fathul Bari) :

“Di dalam hadis ini walaupun berbeza jalan-jalan pengriwayatannya menunjukkan kepada (hukum) harus mengkhususkan sebahagian hari-hari untuk melakukan sebahagian daripada amalan-amalan soleh serta melakukannya secara berterusan.”

Kesimpulan:

Oleh itu digalakkan menghidupkan malamnya dengan ibadah dan siangnya dengan puasa. 

Maka menghidupkan malam nisfu Sya’ban sama ada secara berjamaah ataupun secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan orang ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah menjadi bid’ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak menjadikan amalan tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.

Sekiranya amalan tersebut diwajibkan ke atas orang lain serta menghukum kepada mereka yang tidak mengikutinya dengan hukum berdosa maka menghukumkan dengan hukum dosa itu yang menjadi bid’ah kerana mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W. Inilah makna yang menjadikannya makruh sebagaimana pandangan para salafussoleh terhadap hukum makruh dalam menghidupkan malam nisfu Sya’ban. Adapun menghidupkan malamnya sebagaimana hakikat asalnya maka perkara tersebut adalah disyariatkan dan tidaklah menjadi makruh.

Disediakan oleh :

1. Ustaz Salman Maskuri
2. Ustaz Syed abdul Kadir al joofre
3. Ustaz Abu Muhammad
4. Ustaz Elman Syud
5. Ustaz Ahmad Fahmi Che Nordin
Rujukan:

1. Lataiful Maarif oleh Ibnu Rajab, Mu'tamad oleh Dr Muhammad Zuhaily
2. Lailatun Nisfis Sya'ban oleh Syeikh Zaki Ibrahim.
3. Majalah Minbar Al-Islam, keluaran tahun ke-(68), bil (8) Sya’ban
1430, m/s 136.

FLORIA Putrajaya








Saya selaku warga Putrajaya...rasa tidak sah jika tidak mengajak semua rakan pembaca untuk datang ke FLORIA di Putrajaya. Satu program yang tidak asing lagi kepada semua peminat bunga-bungaan di dalam negara. Dari hanya sekadar membawa keluarga berjalan menikmati keindahan taman bunga "jadian" sehingga agenda membeli belah pelbagai jualan benih dan pokok yang eksotik, FLORIA pada kali ini dijenamakan sebagai Royal FLORIA Putrajaya yang pasti akan menjanjikan satu pengalaman menarik untuk dikunjungi. Berlatarbelakangkan tasik luas membiru bersebelahan jambatan di Lebuh Sentosa, program yang bertemakan bunga kekwa (Chrysanthemum) ini berlangsung dari 27 Mei hingga 4 Jun bermula dalam masa 5 hari sahaja lagi.






Anda tentu tidak mahu ketinggalan untuk menyelitkan FLORIA di dalam jadual cuti sekolah anda. Tema yang dibawa pada tahun ini adalah Dunia Magis FLORIA dimana ianya mengetengahkan konsep sebuah percutian keluarga yang menakjubkan ke Taman Magika. Pada kali ini, FLORIA diadaptasi dari teknologi terkini Eropah dimana pengunjung akan dibawa menyusuri alam magika yang terdiri dari Hutan Mistik, Taman Krisantimum, Dunia Duyung dan Laman Manisan. Semua ini pasti akan meninggalkan memori manis untuk dikenang oleh para peminat flora dan seni landskap.





Festival anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) ini merupakan yang ke-9 diadakan dan terbaik pada pandangan saya setakat ini. Ramai penggubah seni landskap terkenal dari pelusuk dunia datang untuk mempamerkan gubahan kreatif, unik dan tersendiri seperti Australia, Jerman, Jepun, Indonesia dan Thailand. Kaunter tiket akan bersedia seawal 7.00 pagi - 7.00 malam sepanjang tempoh tersebut. 



FLORIA akan bermula dari 27 Mei - 4 Jun 2016 dari jam 9:00 pagi - 10:30 malam (Isnin - Khamis) dan  dari 9:00 pagi - 12:00 tengah malam (Jumaat hingga Ahad). Harga tiket pula adalah seperti berikut:

Bagi pemegang MyKad:
Dewasa RM5.50 manakala kanak-kanak dan OKU cuma RM3.50

Bagi Bukan Pemegang MyKad:
Dewasa RM22 manakala kanak-kanak dan OKU RM11

Untuk memasuki Taman Magika di dalam FLORIA, dewasa RM10.50 manakala kanak-kanak RM5.50.

Jadi apa tunggu lagi, jom kita beramai-ramai melangkah ke Dunia Magis! Sebanyak 300 aktiviti disediakan sepanjang 9 hari untuk anda :) Untuk info lanjut, rakan-rakan boleh ke floriaputrajaya! ;) 

Thursday 19 May 2016

Sushi Oh Sushi


Tidak pernah kaki saya ini sampai jejaknya ke negara matahari terbit yang dikhabarkan sungguh indah dan kaya dengan panorama dan akhlak masyarakatnya. Walaupun belum berpeluang menikmati salah satu peradaban yang tersohor itu, hati saya telah terlebih dahulu jatuh cinta pada makanannya...

Saya diperkenalkan kepada makanan Jepun ini sejurus pulang dari kursus yang panjang oleh rakan baik saya, Ina. Awalnya, saya sering menolak pelawaan lain atas alasan mentah dan mcm² lagi. Namun bila diajak oleh Ina dengan jaminan saya akan menyukainya..hemat saya itu terlalu berani! Sekaligus mencabar saya untuk mencuba. 

Orang kata, tak kenal makanya tak cinta. Mulai saat itu, saya memang benar jatuh cinta dengan wasabe, sushi dan sashimi...salmon yang "konon" dulunya hanyir...skrg hampir tiap minggu teringat. Angau dilamun cinta hahaha... bahagia diulit menu² yang kini hampir semuanya saya suka! Malu bila fikirkan bagaimana dan betapa saya boleh menjadi sebegitu drastik...

Beruntung sungguh saya pabila minat baharu saya mendapat restu suami. Itulah keistimewaan beliau, apa sahaja kecenderungan saya, beliau sentiasa meneman disisi. Faham benar akan tekaknya, saya mulanya agak risau penerimaan beliau terhadap miso, soba dan ramen...namun syukur...skrg kami mampu menikmati hidangan Jepun semeja.

Untuk anda yang baru ingin mencuba, boleh mulakan dengan juadah "ringan" seperti kappa maki, sushi dan tempura dari Sushi King dan Hei Sushi. InshaAllah takkan mengecewakan. Pelbagai variasi dari sup hingga nasi yang sarat dengan lauk untuk disesuaikan dengan selera anda. Selamat memilih! ;-)

Jumpa di entri akan datang ya ♡

Suamiku Programmer



Ini, bukan suami saya :D

Suami saya, En. BB lebih handsome dari ni (takbur tak statement ini?). Maafkan saya..sekadar bergurau... Suami saya seorang programmer. Bukan Suamiku Sotong atau Suamiku Seorang Ustaz atau Suamiku blablabla...(Anda tambah sendiri ikut citarasa) namun suami saya ialah seorang Suami Perfect 10 di mata saya ngeheheheh...

Boleh dikatakan jadual harian suami saya sama sahaja dengan suami orang lain (yang juga pengaturcara), di sebelah malamnya, sambil menghadap komputer..ada sahaja permintaan kecilnya seperti..."sayang tolong bancuhkan air abang, air sayang buat sedappp..." Ayat penamat tu biasanya indah dan sedap didengar...(dan masih sedap walaupun selalu dengar) menyebabkan saya gemar (baca: gembira) untuk bancuh walaupun beratus kali diminta.

Kecenderungan dan minat beliau terhadap komputer dan pengaturcaraan amat tinggi. Dek kerana itu, beliau melanjutkan pengajian juga dalam jurusan yang sama di salah sebuah IPTA berdekatan. Saya sebagai isteri hanya mampu memerhati...ketekunan beliau saban malam (kadang sampai ke pagi) buatkan saya rasa kesian...sesekali ada juga saya menawarkan bantuan. Ya, saya menawarkan bantuan kepada suami saya, jangan tak percaya ya...tolong tengok adalah salah satu dari bantuan yang saya mampu buat... *__*

Passion suami saya terhadap dunia IT mendorong saya untuk memahami diri beliau secara lebih lagi. Memandangkan apabila beliau mengarang (mengarang ke...?) aturcara, saya sepertinya tidak wujud di situ, jadi saya berinovasi - hasrat menambahbaik suasana kerja beliau dengan membawa masuk meja kerjanya ke dalam bilik tidur. Nah! Baru saya mampu bantu memandang sambil tidur :D

Saya kira walau apapun kerjaya suami saya selepas ini, saya akan tetap memberi sokongan penuh kerana beliau sendiri merupakan peminat utama saya dan menyokong apa juga yang saya lakukan. Saya tujukan post kali ini khas buat suami saya (Jika BB membaca, harap beliau happy) sebagai penghargaan kepada belahan hati saya ini. Keep up the good work Bie!

Hingga berjumpa di entri lain. Thanks! ;)

The Only One Zulmi Wan




Izinkan saya memperkenalkan, insan yang Allah kirim kepada saya bersama ujianNya yang membuat saya rasa amat istimewa terpilih untuk diuji dengan dugaan sedemikian rupa. Insan mulia ini ialah Prof. Dr. Zulmi bin Wan, seorang doktor pakar bedah tulang yang berasal dari utara tanah air dan pernah memcurah bakti di HUSM Kubang Kerian, Kelantan. Beliau merupakan doktor yang amat istimewa.

Di mata saya, sejak mengenali beliau dari tahun 1996 apabila mula saya menjejak kaki ke Wad Ortopedik, HUSM, sungguh saya tidak sangka sama sekali beliau merupakan pakar yang saya tunggu-tunggu waktu untuk untuk saya serahkan nasib diri saya kepadanya. Setelah saya disyaki menghidap sejenis ketumbuhan di tangan dan dimasukkan ke wad, terdengar desas-desus bahawa tangan saya ini akan dipotong bagi mengelak ketumbuhan tersebut dari terus merebak.

Saat itu, magis mulai muncul dalam hidup saya. Dimaklumkan menerusi para doktor lain akan ada seorang pakar yang akan tamat dari menyambung pelajarannya di Itali dan akan pulang untuk melihat kondisi saya waktu itu. Besar harapan saya untuk berjumpa beliau dan rezeki Allah SWT nyata berpihak kepada saya. Beliaulah orangnya yang mana masih jelas terasa hangat pandangan matanya memandang saya, dan serasa seolah diri ini amat disayangi tak ubah seperti seorang ayah memandang anaknya sendiri.

Menerusi perbincangan demi perbincangan, saya menerima rawatan kemoterapi sebelum menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan itu. Sepanjang menempuhi ujian tersebut, air mata saya jarang sekali menitis (sebaliknya dengan nenda bonda) kerana saya rasa cukup dikasihi waktu itu. Saya ditatang bagai minyak yang penuh oleh ahli keluarga, doktor, jururawat dan semua yang terlibat pada waktu itu. Maklum sajalah, umur baru menginjak 16.

Jalinan erat perhubungan ini tidak terhenti setakat itu. Setelah saya disahkan "sihat" dan dibenarkan pulang, Prof. Zulmi melayan saya persis VIP di Klinik Ortopedik tiapkali saya hadir menjalani pemeriksaan lanjutan. Kata beliau, saya ni "pesakit lama" nya :) Agak lama juga kan...dari 1996 hingga 2013...sehingga satu hari saya menerima panggilan dari HUSM memaklumkan Abah saya ini asyik menyebut nama saya dan ingin berjumpa saya. Apa pula kejutan beliau kali ini? Hati kecil saya berdetik...

Tidak sama sekali terlintas di fikiran, beliau dulu yang akan "meninggalkan" kami. Kami semua warga HUSM Kubang Kerian...dengan pandangan berat, beliau seolah meminta saya agar memahami dan merelakan pemergian beliau ke Kuala Lumpur untuk berkhidmat di sana. Jelasnya, itu adalah permintaan dari isteri yang sukar untuk beliau tolak. Memangnya tidak perlu saya diterangkan sebegitu tetapi mungkin "jalinan" yang saya maksudkan tadi memaksa beliau bertindak sedemikian. Luluh juga hati saya waktu itu...tapi tetap saya berpegang, jika nyata kita sayangkan seseorang dengan sepenuh hati, harus kita biarkan dia pergi demi kebaikannya. Jangan kita bersifat pentingkan diri.

Insan ini yang telah Allah kurniakan untuk "menjaga" saya selama ini akan pergi menabur bakti di tempat asing baginya. Saya akur. Namun setiap kenangan bersamanya saya pegang kemas di dalam hati dan akan saya ingat sehingga ke akhir nafas saya. Tanpa beliau, saya tidak tahu bagaimana untuk senyum biarpun disahkan menghidap barah / kanser tulang tahap 2 waktu itu. Tanpa beliau, tidak saya faham erti hidup itu perlu terus. Dan beliau juga yang membuat saya memandang hidup ini dari sudut berbeza...Gaya beliau amat santai bersahaja biarpun memiliki ilmu menggunung di dalam bidangnya, tiada langsung riak sombong di wajahnya. 

Beliau benar-benar memiliki tempat istimewa dalam kamus hidup saya (Bibi mesti tersenyum baca tulisan saya ini). Akan saya namakan zuriat saya kelak bersempena dengan namanya. Moga Tuhan mendengar dan memakbulkan doa saya yang satu ini. Untuk Prof. Zulmi, saya sangat sayangkan Dr. sepertimana saya sayangkan abah saya sendiri. Ucapan terima kasih sahaja tak cukup untuk menandingi semua kasih yang telah Dr. curahkan kepada saya dan semua pesakit Dr. selama ini. Moga Allah kurniakan kegembiraan dan kesihatan berpanjangan kepada Dr., aaminn...










Saya Memasak?



Biar betul? Hehehe... masak ajela, sedap ke tak belakang cerita. Saya suka bereksperimen dalam memasak. Sebab saya ialah seorang pemakan tegar yang gemar mencuba sesuatu yang baharu jadi tak salah kan? Paling teruk pun diarrhea je...tak pun kembung perut :-)

Skil dan resepi memasak saya dapat daripada keluarga, kawan-kawan dan kadang menerusi tv atau majalah je. Bagi saya, memasak juga satu bentuk olahan kreativiti. Kita bebas mencipta berdasarkan selera kita. Sebab itu bila memasak, kita akan berasa gembira...macam terapi la. Lagi-lagi bila menjadi dan sedap pulak...berbunga dalam hati...

Siapa food tester saya? Dah tentu la Bibi~ beliau saja yang cukup tabah menerima semua eksperimen saya tanpa gagal. Dari sambal Cik Som hinggalah ke kek (kadangkala susah nak dikenalpasti identiti masakan tersebut) semuanya dicuba tanpa paksaan...(atau mungkin sebab sayang bini? Atau kes tak sampai hati?)

Nah! Saya belanja gambar air tangan saya...saya masih belajar dan sentiasa belajar. Sebab bila kita suka makan dan menda yang disukai tu susah pula nak dapat pada bila-bila masa, jadi kenalah kita belajar untuk hilangkan kempunan...setuju tak? Btw ini gambar biskut kelapa kegemaran saya...masa raya je muncul...hihihi

Anda boleh bertandang ke laman Kak Azlita untuk mendapatkan resepi-resepi menarik di sana :)

Domo arigato gozaimasu!

Wednesday 18 May 2016

Kekasut atau Kasut-Kasut


Wanita dan kasut tak dapat dipisahkan. Sila jangan percaya ya.. dulu saya pun ingatkan camtu sehinggalah saya megenali seorang sahabat yang amat jarang bertukar kasut. Jangan senyum dulu...tak minat kasut tak semestinya tak memiliki kecenderungan yang lain ya. Mungkin beliau pengumpul koleksi tudung? Atau mungkin beg tangan? Atau semurah setem!

Ini pun sejenis hobi pada anggapan saya. Cuma saya kategorikan hobi ini sebagai membazir. Saya suka melihat kasut ataupun sandal yang cantik. Suka sahaja tak mengapa...yang tak seronok bila saya membelinya. Awal dulu Bibi tak perasan habit Cik Som..tapi bila dah hampir sedekad ni, macam mana lagi nak saya elak kan...melainkan angkat tangan mengaku saja lah saya mabuk kasut.

Yang memburukkan hobi saya ini ialah saya tidak pula menukar kasut sekerap yang dibeli. Ini menyebabkan kebanyakan dari koleksi tadi mereput di satu sudut yang sepi (rak kasut). Menambahkan lagi luka di dada apabila kekadang ternampak pula di laman FB tentang kesusahan insan yang kurang bernasib baik...mudah-mudahan saya dikurnia taufiq untuk mem"preloved" koleksi saya dan menyalurkan hasilnya kepada badan-badan tertentu yang lebih memerlukan, inshaAllah...

Hingga berjumpa di entri yang lain ya ;-)

Mini Aquaria


Salah satu kegemaran saya sejak zaman kanak-kanak ialah membela ikan. Hobi ini kami pupuk dari kecil dengan sokongan abah. Seingat saya, abah pernah buatkan kolam di tepi rumah dan diletakkan ikan tilapia serta sepat kedah untuk kami adik-beradik memancing. Seronok sungguh waktu itu!

Ikan yang pertama kami bela ialah guppy. Ikan kecil dengan ekor berwarna-warni. Sungguh mudah dijaga, letakkan kiambang sebagai tempat ikan tersebut bertelur dan membiak serta makanan secukupnya. Dari cuma sepasang dua, dalam masa sebulan akan jadi berpuluh ekor.. bahagia! Teruja apabila ikan betina kuning dikacuk dengan jantan berwarna biru, apakah warna anak-anaknya...ada hijau, turquoise dan macam-macam lagi...

Orang kata, bila dah minat...contohnya bermain, jatuh terluka pun bangkit kembali. Saya rasa ada benarnya. Kami adik-beradik pernah diuji kehilangan sekolah (satu kolah berdiameter semeter) ikan guppy. Anggaran ekor? 300 barangkali...dicuri semasa semua tengah nyenyak tidur. Menangislah kami keesokkannya...

Sekarang, saya memulakan semula hobi lama. Cuma bila umur bertambah, selera pun meluas..dari cuma guppy, saya mencuba ikan air tawar yang lain...contohnya puyu dan patin... sekadar mencabar diri untuk berkembang. Tak salah kan? 

JIka anda mempunyai anak-anak, terdapat banyak lokasi menarik untuk memupuk minat mereka terhadap ikan akuarium. Satu yang terbaik setakat ini adalah Aquaria KLCC di Kuala Lumpur, anda pasti tidak akan menyesal meluangkan masa dan wang ringgit anda di sana.

Selamat mencuba!

Hidup Ini Singkat


Hakikatnya bahawa hidup ini amat singkat. Setiap saat berlalu tanpa kita ingat. Dan saban hari dirai umur yang kian meningkat. Berduyun  berkejar mengusahakan harta dunia tak peduli lelah dan penat. Tak sedar masa sudah tamat. Bila mata terpejam rapat dan tangan erat mendakap, tatkala itu baru sedar sudah terlewat. Direnung kita akan diri di jasad, serta sugul keluarga dan sahabat. Ke kuburan kita diangkat, malaikat menunggu penuh taat. Soalannya mudah dan padat. Apa kau buat sepanjang dikurnia hayat?

Ayuh kita saling mengingat sebelum terlewat. Sediakan bekal untuk akhirat. Basahkan lidah dengan selawat. Di sana menunggu Muhammad, yang terlalu amat kasihkan umat.
Selawat ke atas junjungan besar, Muhammad SAW.

Tuesday 17 May 2016

Selamat Hari Guru Malaysia 2016



Assalamualaikum, Salam Sejahtera...

Entri kali ini saya dedikasikan khas buat semua warga pendidik. Saya amat bertuah memiliki sebegitu ramai guru memandangkan kekerapan bertukar sekolah satu masa dahulu. Saya sendiri datangnya dari keluarga yang berlatar belakangkan pendidik. Allahyarham abah saya merupakan seorang guru agama semasa hayatnya dan memiliki ramai anak murid. Justeru itu, rumah kami agak kerap didatangi oleh bekasan pelajar arwah. Ada yang datang ziarah bertanyakan khabar, ada juga yang datang bertanyakan tentang sesuatu...saya tidak jelas sangat kerana masih berada di sekolah rendah waktu itu.

Arwah abah merupakan guru yang garang dan tegas. Dek ketegasan itu, kami adik-beradik belajar mengaji di rumah mengaji yang lain. Kami gembira kerana bukan sahaja tok guru tersebut baik malahan ada geng untuk bermain selepas habis kelas. Saya masih ingat dirotan semasa mengaji kerana tanpa disedari rupanya saya tertidur! Penat seharian di sekolah, kemudian dihidang pula masakan sedap oleh maa yakni bonda saya...hasilnya tersengguk saya di dalam kelas mengaji :)

Terdapat beberapa nama guru yang amat terkesan dan terpahat dalam hati saya. Saya ingin menyelusuri satu-persatu kisah guru-guru istimewa ini dan bagaimana mereka semua meninggalkan kesan mendalam dalam lipatan hidup saya. Guru pertama ialah cikgu tadika saya...ah, dah lupa saya namanya! Beliau bukanlah orang asing, beliau merupakan kawan bonda saya sendri. Orangnya bertahi lalat di atas bibir dan lemah lembut. Lembut adalah sebab membenarkan saya menghisap puting yang bonda gantungkan khas pada rantai di leher saya pada masa itu...hihihi

Insan kedua yang istimewa ialah Allahyarham Cikgu Zahari, guru BM semasa saya di darjah 2. Beliau telah mengajar kami cara menulis huruf secara bersambung yang cantik dan kemas! Dari situ saya mula belajar bahawa semua huruf tersebut boleh dihubungkan dan menjadi lebih cantik sebegitu. Jika Allahyarham masih ada, beliau pastu bangga kerana anak muridnya ini memang mengunakan sepenuhnya ilmu yang diajarkan dahulu... Saya beruntung masih berkesempatan menerima ilmu sedemikian yang saya fikir tidak lagi diajarkan kepada murid-murid kini.

Cikgu Roslina, secantik nama dan semanis tuan empunya badan. Allahyarhamah merupakan guru kelas dan juga kakak kepada rakan sekelas saya semasa di darjah 3. Orangnya manis namun tegas. Jari-jemari gebu (gebu ke?) saya ini pernah merasa dihinggap pembaris kayu panjang berwarna kuning gara-gara terlupa memotong kuku. (Keluarga saya tidak membenarkan kami adik-beradik menyimpan/ membiarkan kuku panjang tanpa dikemaskan) Menangis hati saya...nak menangis secara fizikal takut makin dimarahi oleh cikgu. Beliau kemudiannya dikhabarkan menghidap sejenis penyakit dan meninggal semasa saya berada di universiti.

Semasa di sekolah rendah, saya mengenali Cikgu Rahim. Beliau merupakan guru perpustakaan pada masa itu. Memandangkan hobi abang long diperturunkan kepada kami, jadi perpustakaan itu merupakan pilihan ketiga menarik selepas acara sukan dan permainan kampung lain. Seingat saya, buku National Georaphic amat digemari saya pada masa itu disamping kisah-kisah dongeng rakyat. Saya mampu berada di sana berjam-jam menghayati keindahan dunia melalui buku...hasilnya lahirlah saya yang kuat berangan! Oh ya, saya dilantik sebagai pengawas perpustakaan gara-gara kerap ke sana yang membolehkan saya meminjam buku-buku dengan lebih kerap dan lama.

Seterusnya, insan yang banyak mempengaruhi saya ialah Sir Han Tong Kwang, seorang guru BI yang tegas namun lucu dengan dialek Cina - Kelantan beliau. Saya pernah disuruh untuk menyertai syarahan dan masih jelas di ingatan saya, suasana semasa menjalani latihan syarahan di kantin sekolah. Saya dengan penuh yakin dan lantang membaca teks sambil menyebut "in-clu-ding" dan serta-merta sebelum sempat saya menghabiskan ayat, pembaris telah hinggap di bahu saya. Entah dari mana datangnya pembaris tu! Sampai sekarang saya terfikir...Namun begitu, beliau saya kira amat menyayangi saya apabila saya dihadiahkan dengan sebuah kamus kesayangan beliau yang sangat uzur keadaannya (yang masih saya simpan hingga kini) setelah selesai sesi syarahan tersebut.

Agak panjang tulisan saya kali ini, terima kasih di atas kegigihan membaca. Saya akan menyambung kembali esok jika diizinkanNya.

Terima Kasih Daun Keladi


Malam-malam pun nak menulis...macam ni la kot semangat saya yang baru diperkenalkan dengan blog ni. Sebelum ni, diari pun tak ada, jadi bila ada blog ni seronok pula. Saya akan cuba manfaatkan blog ini dengan perkongsian yang menarik buat saya dan diharap cukup menarik untuk dibaca :)

Terima kasih saya ucapkan kepada rakan saya yang juga blogger, Wawa Syaida yang telah menjerumuskan saya ke dalam dunia blog ini. Jerumus mungkin kurang tepat untuk sesuatu perkara yang baik sebegini namun apa yang saya cuba sampaikan ialah saya amat berterima kepada beliau kerana berkongsi hobi yang saya kira cukup sesuai untuk saya yang kurang minat menulis ini. Orang kata, belakang parang jika diasah lagikan tajam inikan pula bakat menulis saya...hehehe

Saya pernah memasang niat semasa sedang mengarang esei Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memerlukan saya untuk menulis sekurang-kurangnya beberapa ratus patah perkataan dan beberapa helaian bahawa detik itu akan menjadi detik terakhir saya akan mengarang sebegitu rupa. Sungguh saya tidak minat dengan karangan bersifat berjela-jela sepertimana yang diwajibkan kepada kami pada masa itu. Perkara ini tidak terhenti di situ sahaja... Di kampus, tabiat kurang baik tersebut makin serius....Keengganan saya untuk membuat karangan yang berjela menyebabkan mutu tulisan tangan saya merosot berkadaran dengan panjang jawapan exam tersebut. Hal ini memaksa lecturer saya untuk memanggil saya ke bilik beliau bagi membacakan semula apa yang telah saya tulis sebelumnya...

Kusangka panas hingga ke petang, rupanya gerimis di tengah hari. Kini, salah satu dari kerja saya adalah mengarang minit, laporan, rumusan dan sebagainya lagi yang mana satu ketika dulu amat saya geruni. Mungkin ini ketentuan Allah kepada saya. Pesan orang tua-tua, jangan terlalu membenci, kelak bertukar sayang...nah! Sekarang saya tak rasa sayang pun cuma ketabahan diperlukan untuk menghadap semua itu. Mujur saya diberikan kekuatan dan dari kalangan insan yang tabah. Syukur padaMu Allah yang Maha Pengasih...

Persoalan yang bermain di benak saya, adakah saya lebih sesuai untuk menjadi seorang doktor? Kerana kebiasaannya ahli farmasi dan jururawat sahaja yang faham apa yang ditulis oleh seorang doktor...begitulah yang berlaku pada insan di sekeliling saya...

Hingga berjumpa lagi di entri yang lain. Terima kasih kerana sudi membaca!

Indahnya Sebuah Ikatan




Perkahwinan, merupakan satu di  antara perkara magis yang berlaku di dalam hidup saya. Berkenalan dengan kekasih hati saya semenjak di kampus dan kini hampir 10 tahun ikatan ini bersemi. Doakan agar ikatan ini berkekalan sehingga ke syurga Allah, mudah-mudahan dengan izinMu jua.

Saya ingin berkongsi detik awal perkenalan dengan belahan hati saya ini. Orangnya peramah, disukai ramai dan kecil comel sahaja. Tidak langsung terlintas di fikiran saya beliaulah yang akan menjadi orang rumah saya yang akan berkongsi suka duka saya dan akan bersama meniti perjalanan hidup saya yang penuh teka-teki ini. Hidup yang kita caturkan, Allah jua sebaik-baik perancang.

Dipendekkan cerita, kini setelah lebih sedekad mengenali beliau, saya makin jelas akan makna dari ayat suci ini, Al-Baqarah ; 216...

" Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui"

Bersambung di entri lain... :)

First Entry



Entri pertama saya untuk hari ini adalah kata-kata mutiara ini. Saya amat tertarik dengan kata-kata ini yang disampaikan oleh majikan di tempat baharu saya kepada kami semua memandangkan ia amat menyentuh kehidupan harian dan pekerjaan kita. 

Suka saya mengingatkan diri saya sendiri dan rakan-rakan, jangan pernah berhenti untuk melakukan kebaikan walau sekecil mana pun kerana kita takkan pernah kerugian akibat dari perbuatan tersebut. 

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW, bersabda: 

“Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. 

Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”. 

(HR. Muslim, lihat juga Kumpulan Hadits Arba’in An Nawawi hadits ke 36).

Sehingga berjumpa di entri yang akan datang :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...